Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kematian remaja itu daripada seorang doktor hospital swasta di sini menerusi panggilan telefon pada pukul 6 pagi.

Katanya, doktor berkenaan mengesahkan remaja itu mati pada pukul 5.55 pagi dan memaklumkan yang mangsa telah dipukul.

“Berdasarkan temubual dengan abang mangsa, lelaki terbabit memberitahu yang adiknya itu keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal pada pukul 11 malam dan balik ke rumah pada pukul 2 pagi.

“Bagaimanapun, dua jam kemudian mangsa yang mengadu sakit dada dan sesak nafas telah dihantar ke Klinik Kesihatan Falim sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta namun disahkan meninggal dunia di hospital

berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan tisu lembut akibat trauma tumpul pada kepala serta kedua-dua belah tangan dan kaki.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tempat kejadian dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE