Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, remaja 18 tahun itu ditahan ketika membawa 1,020 kilogram (kg) minyak masak serta 660 kg gula pasir pada pukul 5.30 petang.

“Pantauan PPM dalam Op Gelora Khas membawa penemuan cubaan menyeludup keluar 153 pek minyak masak Cap Bunga serta 867 pek minyak masak Cap Kapal, selain 660 pek gula pasir Cap Gula Prai, untuk pasaran Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesemua barang-barang kawalan yang dibawa.

Mohamad Pajeri berkata, kesemua rampasan termasuk dua unit enjin dan sebuah jongkong dianggarkan berjumlah RM62,497.

Katanya, kes itu diserahkan kepada pihak KPDNHEP Tawau untuk tindakan dan siasat lanjut. -BERNAMA