Suspek yang tidak bekerja dan merupakan teman lelaki mangsa, ditahan di Taman Bandar Baru Kampar malam semalam selepas mangsa tampil sendiri membuat laporan polis di Balai Tronoh Mines, petang semalam.

HASRON NAZRI HASHIM
HASRON NAZRI HASHIM 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa telah menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan kira-kira dua tahun lalu bermula pada bulan Januari 2017.

Beliau berkata, hubungan tersebut telah diketahui keluarga kedua-dua belah pihak, malahan terdapat perancangan untuk berkahwin.

“Namun begitu, pada 3 Jun lalu kira-kira pukul 11 pagi, mangsa mendapati dirinya telah mengandung selepas membuat ujian kehamilan kerana telah lama tidak datang bulan dan mengikut perkiraannya, dia telah mengandung lima bulan.

“Mangsa kemudian datang ke balai untuk membuat laporan polis bagi merujuk kandungannya kepada pihak hospital,” katanya di sini hari ini.

Hasron berkata, hasil siasatan mendapati mangsa pertama kali mengadakan hubungan seks bersama suspek pada Februari 2019 iaitu ketika berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Bandar Baru Kampar.

“Mangsa telah melakukan hubungan seks tanpa paksaan kerana beranggapan dalam perancangan untuk berkahwin.

“Sehubungan itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar dan hasil pemeriksaan mendapati dia telah hamil kira-kira 20 minggu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE