Tertuduh, Shah Rizal Ismail Basha, 40, didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan lesen rumah urut kepada syarikat JJ Harmony Spa.

Bagaimanapun Shah Rizal yang kini menganggur mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi dua pertuduhan lain, tertuduh juga didakwa menerima suapan daripada individu sama bagi tujuan sama dengan kesemua kesalahan itu dilakukan di syarikat JJ Harmony Spa, di Taman Anggerik Perdana, Semenyih, antara 12 Mei hingga 6 Jun 2016.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Michael Joimin yang mengendalikan kes menawarkan jaminan berjumlah RM50,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Shah Rizal yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon pengurangan dengan alasan dia mempunyai tanggungan seorang isteri, ibu dan dua anak.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April depan. - UTUSAN ONLINE