Seorang anggota polis mengawal sebahagian pelacur yang ditahan dalam operasi maksiat di pusat bandar baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Isa berkata, lokasi serbuan Op Noda itu dibuat di Taman Sungai Besi dan Taman Miharja di sini.

“Polis telah menahan seramai 29 individu termasuk tiga lelaki warganegara tempatan dan 26 wanita warga asing berusia antara 23 hingga 45 tahun.

“Kesemua wanita berkenaan terdiri daripada 14 warga Thailand, Vietnam (5), Laos (4), Indonesia (2) dan seorang Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaimi memberitahu, kesemua wanita yang ditahan semasa serbuan berkenaan disyaki bekerja sebagai tukang urut dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran sebanyak RM170.

“Kedua-dua premis berkenaan yang beroperasi di rumah kedai dua tingkat dan tidak mempunyai lesen yang sah.

“Kesemua tahanan disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1963 dan peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE