Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, hasil maklumat dan risikan dilakukan, pihaknya melakukan serbuan di lokasi tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Ketika serbuan dilakukan, kita dapati terdapat sekumpulan lelaki dan wanita warga China sedang sibuk menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Semakan awal mendapati kesemua suspek yang berusia 18 hingga 56 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, sindiket terbabit menjalankan kegiatan judi antarabangsa meliputi pasaran Kanada, China dan Hong Kong sejak kira-kira dua bulan lalu.

“Sindiket ini dipercayai meraih kutipan pertaruhan mencecah 500,000 yuan atau bersamaan RM300,000 setiap hari, manakala pekerja pula diberi upah antara RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Dalam serbuan itu juga, kita merampas 30 komputer riba, 45 telefon bimbit dan dua modem yang digunakan untuk kegiatan itu,” ujarnya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan reman selama empat hari dan permohonan sambung reman akan dilakukan esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953,” jelasnya.

Tambah Ahmad Dzaffir, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik kondominium berkenaan untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE