Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, proses bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat gadis itu sejak pukul 11.40 pagi tadi masih belum selesai sehingga pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin proses bedah siasat tersebut akan dapat diselesaikan pada malam ini.

"Bedah siasat perlu dijalankan dengan teliti untuk menentukan punca kematian Nora Anne. Kita percaya punca kematiannya akan diumumkan esok," katanya ketika dihubungi malam ini.

Pasukan pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) terlibat dalam proses bedah siasat remaja berkenaan hari ini yang telah berlarutan hampir 9 jam.

Nora Anne ditemukan mati oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya di The Dusun Hill di Pantai di sini kira-kira 1.57 petang semalam.

Remaja lembam itu didapati hilang oleh keluarganya dari bilik tidur di resort tersebut pada pukul 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Mangsa tiba di negara ini pada 3 Ogos lalu bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya untuk bercuti selama dua minggu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan esok berhubung hasil bedah siasat mayat remaja terbabit.

"Sehingga kini bedah siasat masih dijalankan dan kita belum tahu punca kematiannya. Sidang akhbar akan diadakan esok dan waktu serta tempat akan dimaklumkan," katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTJ malam ini.

Beliau berkata, proses bedah siasat dikendalikan pakar Patologi dari HKL, Dr. Siew Sheue Feng bersama Dr. Hanif Mohammad dari HTJ. - UTUSAN ONLINE