Mahadhir Mat Lazim, 43, berkata, seluruh keluarganya berasa bimbang dengan keadaan anak lelakinya, Umair Fayed, 13, memandangkan remaja lelaki itu mengalami penyakit asma dan alahan yang teruk.

“Saya minta kepada Umair Fayed jika terbaca akhbar ini supaya pulang ke rumah di Beranang, Selangor.

“Ibu dan adik beradiknya yang lain sangat merinduinya. Kami beri jaminan tidak akan memarahinya atas perbuatannya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan tiga pelajar Tahfiz Al-Quran Darussyifa di Tampin berusia 13 hingga 14 tahun dilaporkan hilang dari pusat pengajian itu sejak 24 April lalu.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana bimbang didenda selepas perbuatan mereka menggunakan telefon bimbit diketahui warden mereka.

Mahadhir berkata, dia dan ahli keluarganya masih meneruskan usaha mengesan Umair Fayed di Damansara Damai, Petaling Jaya kerana mendapat maklumat anaknya berada di situ.

Katanya, dia tidak akan berputus asa mencari Umair Fayed dan sentiasa berdoa pelajar tahfiz itu sentiasa berada dalam keadaan baik serta dilindungi Allah.

Beliau berharap orang ramai yang mengetahui lokasi anaknya supaya menghubunginya di talian 011-5623 1838. - UTUSAN ONLINE