Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, projek yang sudah bermula di 12 kawasan berisiko tinggi sejak awal bulan ini itu, akan memberi perhatian terhadap tindakan bersepadu yang boleh diambil pihak terlibat.

Menurutnya, interaksi antara agensi-agensi itu juga perlu supaya operasi pembersihan dadah termasuk yang dilakukan di Pulau Langkawi, baru-baru ini tidak bersifat sementara.

“Kita perlu mencari masalah pokok yang membawa kepada penglibatan orang ramai terutamanya golongan muda dalam masalah dadah ini, selain peranan ibu bapa yang perlu mengikuti rapat aktiviti anak-anak mereka.

“Dalam projek ini, agensi terlibat turut melihat masalah sosial lain yang berpunca daripada dadah atau kegiatan yang membawa mereka terjerumus ke dalam penyalahgunaan bahan terlarang ini,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama 15 agensi mengenai projek terbabit di sini, hari ini.

Sebelum ini, AADK mengumumkan 12 kawasan berisiko yang terpilih dalam projek rintis itu termasuklah Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor di Selangor dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Kuala Lumpur.

Turut tersenarai adalah Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun, Terengganu; Pengkalan Chepa, Kelantan; serta Perling dan Parit Sulong di Johor.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya memperkenalkan slot tayangan video atau iklan mengenai bahaya dadah dan langkah pencegahannya kepada penumpang feri di Langkawi sebagai antara pengisian dalam program rintis terbabit.

“Kita sudah mengadakan kerjasama dengan lapan syarikat atau pengendali feri untuk tayangan itu setiap kali penumpang keluar masuk ke pulau ini supaya kesedaran timbul dalam kalangan mereka mengenai kesan penyalahgunaan dadah.

“Ini merupakan antara interaksi yang dimaksudkan dalam projek rintis berkenaan iaitu melakukan tindakan bersepadu tidak kira agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Selain Kuala Kedah dan Kuala Perlis, penumpang dari Pulau Pinang dan Satun, Thailand turut menggunakan jalan laut untuk ke Pulau Langkawi menaiki perkhidmatan feri yang disediakan. - UTUSAN ONLINE