Kesemua kutipan itu diperoleh sepanjang program tersebut yang berlangsung di Dataran Pahlawan Banda Hilir di sini bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1,388,110 dikutip melibatkan sejumlah RM568,920 bayaran saman POL 170A iaitu meletakkan kenderaan di luar kotak parkir manakala sebanyak RM819,190 dikutip daripada saman POL 257 iaitu mengubahsuai kenderaan.

"Kesemua bayaran ini diterima melibatkan sebanyak 11,114 saman yang dibayar oleh pengguna kenderaan iaitu 4,842 saman pada hari Sabtu dan 6,272 saman pada hari Ahad.

"Pada hari Sabtu, sebanyak 2,568 saman POL 170A dijelaskan manakala jumlah saman POL 257 adalah sebanyak 2,274. Pada hari Ahad pula, sebanyak 3,263 saman POL 170A diterima manakala jumlah saman POL 257 adalah sebanyak 3,009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hasan Basri, sebanyak 20 anggota dan pegawai jabatan itu terlibat sepanjang kaunter tersebut dibuka termasuk dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin serta pegawai teknologi maklumat dari IPK Melaka. - UTUSAN ONLINE