Aidi Ismail
AIDI ISMAIL

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, semua Ketua Polis Daerah (KPD) telah diarahkan untuk membuat pemeriksaan secara total bagi memastikan tiada sebarang kegiatan judi haram wujud di daerah mereka.

“Kami di Kontinjen Terengganu menyokong penuh dan patuh kepada arahan Ketua Polis Negara.

“Di samping itu pihak Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri akan turut turun padang membanteras dan memastikan tiada kegiatan judi haram di seluruh negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai arahan Abdul Hamid agar semua Ketua Polis Negeri dan KPD memastikan kegiatan judi haram di kawasan mereka dihapuskan secara total.

Abdul Hamid dilaporkan berkata, semua tauke judi haram di setiap daerah di seluruh negara yang masih bermaharajalela menjalankan kegiatan itu diberi amaran keras untuk menghentikan operasi mereka atau berdepan tindakan ditangkap.

Sementara itu, Aidi memberitahu, sebanyak 77 serbuan telah dibuat terhadap aktiviti perjudian yang melibatkan serbuan dan tangkapan kes perniagaan nombor ramalan tanpa lesen sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 38 kes telah dituduh di mahkamah, 24 kes tiada tindakan lanjut (NFA) manakala baki 15 kes masih dalam siasatan.

“Bagi awal tahun ini hingga Mei lalu sebanyak 34 serbuan telah dibuat dengan 34 kertas siasatan telah dibuka sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak satu kes berbanding tempoh sama pada tahun 2018 sebanyak 33 serbuan.

“Daripada jumlah itu, lima kertas siasatan telah dituduh di mahkamah setakat ini dan manakala 29 lagi masih dalam siasatan bagi menunggu laporan pakar judi,” katanya. - UTUSAN ONLINE