Kedua-dua suspek berusia 22 dan 26 tahun itu ditahan tidak sampai tempoh 24 jam mereka melakukan jenayah itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek pertama berusia 26 tahun ditahan kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin di Jalan Saujana Permai, Ayer Keroh.

"Susulan tangkapan suspek pertama, polis berjaya menahan suspek kedua berusia 22 tahun di Taman Bukit Katil kira-kira pukul 6.35 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif mengambil dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis katanya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Avantis, spanar dan besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN ONLINE