Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya berjaya menangkap suspek berusia 49 tahun itu pada pukul 1.15 pagi.

“Polis mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemui satu beg berzip jenis Avon yang mengandungi empat paket dadah jenis heroin dengan berat kasar 205.79 gram (g) dan sepaket lutsinar dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 30.64 g.

“Turut ditemui sepucuk pistol tiruan jenis Glock,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Tambah Ahsmon, bekalan dadah yang dirampas pihaknya boleh memenuhi permintaan seramai 500 penagih di kawasan tersebut.

“Saringan ujian air kencing yang dibuat mendapati suspek positif penggunaan bahan terlarang jenis morphine,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api 1960. - UTUSAN ONLINE