Dalam serbuan di empat buah rumah iaitu di Taman Sri Krubong, dua di Taman Teknologi Cheng dan di Taman Cheng Perdana itu, polis turut menahan tujuh individu termasuk seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga Myanmar yang berada di lokasi serbuan, kesemuanya berusia antara 22 hingga 39 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, serbuan dibuat ke atas empat premis itu yang disyaki menjual minuman keras tiruan dan diseludup di sekitar negeri ini.

Menurut beliau, serbuan bermula pukul 1 petang dan berakhir pukul 10 malam kelmarin berjaya merampas sejumlah 4,366 botol minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dan tiruan bernilai kira-kira RM500,000.

“Turut dirampas pelbagai jenis kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori, Honda CRV, Mercedes-Benz, Naza Suria, Mitsubishi Triton; sejumlah cop setem duti kastam palsu dan beberapa peralatan memproses minuman keras tiruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nor Yhazid berkata, nilai kesemua rampasan termasuk minuman keras adalah kira-kira RM1.5 juta dan serbuan dibuat hasil risikan pihak polis selama sebulan.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - UTUSAN ONLINE