Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sedia memberikan bantuan sekiranya diperlukan termasuk mendapatkan risikan maklumat bagi mengesan Farhash.

“Kita memang akan beri bantuan... Ketua Polis Negara pun telah beri kenyataan berkenaan Farhash jadi sekiranya bantuan dipohon dari pihak kita dan sekarang ini (tindakan) di pihak Bukit Aman.

“Kita juga akan dapatkan risikan maklumat untuk bantu,” katanya pada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Ahad lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media di ibu negara berkata, usaha mengesan Farhash masih dijalankan walaupun mangsa dalam kes itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

Farhash, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah suspek utama kes serangan ke atas seorang jurulatih tinju di Kompleks Sukan Arena, di Taman Dagang Permai di Kuala Lumpur.

Pada majlis serah tugas itu, Supt Barudin Wariso dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah yang baharu menggantikan ACP Mohamad Zainal Abdullah yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada majlis itu, turut diadakan serah terima tugas Pengerusi Perkep IPD Perak Tengah antara Niche Isa Medina Machmudi Isa dengan Rodziah Mansor yang baru dilantik yang disaksikan Pengerusi PERKEP negeri, Datin Zainah Othman.- BERNAMA