Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya juga percaya ia merupakan rampasan terbesar di Terengganu setakat ini hasil serbuan kira-kira pukul 7.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati suspek baharu sebulan berjinak-jinak menjalankan kegiatan itu yang dipercayai bergiat aktif di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pada awalnya lelaki terbabit cuba melarikan diri namun gagal sebelum berjaya ditahan di rumah milik keluarganya itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek, polis menemukan sejumlah pil yang disyakki dadah jenis methamphetamine yang disimpan di dalam beberapa beg plastik, beg galas serta bungkusan plastik," katanya dalam sidang media di IPK Terengganu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintenden Roslan Tahir.

Aidi seterusnya berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah 59,400 biji pil berwarna merah dan 600 biji pil berwarna hijau yang kesemuanya berjumlah 60,000 biji pil disyakki dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM600,000.

"Hasil ujian saringan mendapati suspek positif methamphetamine dan dia juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Kita juga percaya dia mendapat bekalan dadah itu dari negara jiran," jelasnya.

Menurutnya, polis juga sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan wujud rangkaian lain pengedaran dadah melibatkan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE