Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dakwaan oleh seorang individu yang menggunakan akaun 'Empayar Serikandi’ adalah tidak benar.

“Polis masih belum menerima sebarang aduan dan laporan polis daripada orang awam berkenaan kes tersebut.

"Pemilik akaun berkenaan juga diminta tampil bagi memberi keterangan kerana telah menimbulkan kegusaran terhadap orang awam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak benar dalam media sosial dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail memaklumkan, pihaknya telah menjalankan siasatan di beberapa buah tangki air di sekitar Port Dickson dan Springhill, namun tidak menemukan mayat seperti didakwa.

“Semua tangki berada dalam keadaan selamat dan terkawal. Oleh yang demikian, Sains memohon semua penduduk di sekitar Port Dickson supaya tidak mempercayai fitnah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, Sains akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu sekali gus mengesahkan tangki miliknya berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang aktiviti pencerobohan ketika ini. - UTUSAN ONLINE