Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sebaliknya video yang ditularkan itu sebenarnya dirakam dua tahun lalu dan bukannya baharu berlaku.

Beliau menjelaskan, tidak ada pihak termasuk pemilik resort, calet atau hotel di pulau peranginan itu yang menganjurkan pesta arak dan tarian seumpama itu melainkan atas usaha individu.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati pondan yang berasal dari Sabah bersama beberapa yang lain kelihatan menari dalam keadaan mabuk selain berdiri di atas sebuah tong lalu menari dalam keadaan separuh bogel.

“Aksi tersebut dirakam oleh seseorang dan kemudiannya dimuat naik oleh pemilik Facebook yang menggunakan nama Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu) yang kemudiannya menjadi tular.

“Siasatan Pihak Berkuasa Tempatan mendapati pemilik muka buku itu sebelum ini dipercayai pernah memohon untuk membuka kedai urut di pulau berkenaan namun tidak mendapat kelulusan dan atas sebab itulah dipercayai menjadi punca dia bertindak sedemikian,” jelasnya.

Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Ahmad Azizi Zulkifli dan Pegawai Agama Daerah Besut, Zahari Sulung di pejabat MDB Kampung Raja hari ini.

Mohd. Zamri seterusnya berkata, sebenarnya penduduk Pulau Perhentian dan juga peniaga di pulau itu juga tidak bersetuju dan membantah pembukaan kedai urut tersebut.

Ahmad Azizi pula mencelah, pihaknya telah membuat satu laporan polis menafikan pihaknya termasuk Pejabat Agama Daerah Besut tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, dakwaan dalam Facebook Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu) itu adalah palsu dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan reputasi MDB dan kerajaan negeri.

“MDB bersama polis dan Pejabat Agama Daerah Besut serta Jabatan Kastam sering melakukan pemantauan dan operasi bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi yang dijalan termasuk merobohkan bar tepi pantai serta merampas minuman keras yang tidak berlesen. - UTUSAN ONLINE