Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Deputi Superintenden Jafri Ahmad berkata, tangkapan pertama ke atas sebuah bot pukat kenka melibatkan tiga warga tempatan berusia antara 31 hingga 58 tahun.

Katanya, bot berkenaan ditahan Selasa lalu dalam Ops Pintasan pada pukul 8.15 pagi dari jarak enam batu nautika Tanjung Piandang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat-syarat lesen kerana pemilik bot tidak mengusahakan sendiri seperti ditetapkan dalam lesen.

"Bot itu kemudiannya ditahan dan dibawa balik ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kurau untuk tindakan selanjutnya dan kes diserah kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan," katanya di sini hari ini.

Menurut Jafri, tangkapan kedua yang melibatkan bot pukat hanyut pula dilakukan pada Rabu lalu iaitu pada pukul 10.50 pagi dalam Ops Gelora.

Beliau berkata, bot berkenaan ditahan dari jarak 2.3 batu nautika dari Tanjung Batu, Segari dekat sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat-syarat lesen menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran Jabatan Perikanan.

"Bot tersebut ditahan dan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya dan dua warga asing berusia 44 dan 55 tahun ditahan," katanya.

Katanya, kes diserah kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan. - UTUSAN ONLINE