Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada waktu tengah hari melibatkan sekumpulan kanak-kanak lelaki menunggang basikal menuruni lebuh raya berkenaan.

Katanya, yang membimbangkan perbuatan itu dilakukan oleh kanak-kanak terbabit tanpa menghiraukan kenderaan lain di lebuh raya tersebut.

"Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak. Pesalah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959(LN166/59) dan dikenakan denda maksimum RM2,000.

"Sekiranya pesalah masih lagi di bawah umur, ibu bapa mereka juga boleh dikenakan denda RM20,000 dan dipenjara maksimum 10 tahun di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan sekumpulan kanak-kanak melakukan aksi berbahaya ala 'Superman' menggunakan basikal lajak di lebuh raya itu semalam.

Video berdurasi 50 saat itu dipercayai dirakam seorang pengguna lebuh raya sebelum susur masuk ke Seremban dan Ampangan di lebuh raya tersebut.

Ibrahim menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak bagi mengelak mereka terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain. - UTUSAN ONLINE