Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam mengenai kes samun itu kira-kira pukul 2 petang semalam.

“Ketika kejadian, dua pekerja berada di kaunter manakala beberapa pelanggan sedang beratur membuat bayaran.

“Dua suspek lelaki masing-masing berbaju Melayu hijau muda dan biru cair memakai helmet berpenutup muka berwarna gelap kemudian memasuki kedai itu dengan bersenjatakan parang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Baharudin, mereka kemudian mengambil tiga karton rokok berjumlah RM510 dan wang tunai RM200 daripada laci kaunter itu sebelum melarikan diri.

Ujarnya, tiada mangsa mengalami kecederaan dan suspek menaiki motosikal Yamaha 135 LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ravind di talian 012-2633203 atau 03-55202222 untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berdurasi hampir seminit itu tersebar di media sosial yang menunjukkan premis berkenaan disamun.- BERNAMA