Berkongsi pandangan kepada wartawan Utusan Malaysia, HERMAN HAMID, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut menegur kenyataan segelintir pemimpin politik membabitkan insiden rusuhan akibat pemindahan kuil di Subang Jaya kelmarin.


UTUSAN: Nampaknya segelintir pihak masih melihat sesuatu isu dari sudut kaum, apa pandangan Tan Sri?

 

MUSA: Elakkan daripada buat tuduhan. Ada perkara lain lagi yang jadi penyebab. Ingat, kalau sentuh kaum, keadaan akan jadi kalut dan seterusnya wujudlah situasi saling tidak mempercayai. Ini terutama orang politik, jangan bagi kenyataan salah. Sepatutnya bagi ulasan yang tentukan keada­an tidak jadi tegang supaya apa berlaku tidak menjadi buruk. Kenyataan haruslah mentente­ramkan masyarakat dan bukan menyalahkan sesiapa.

Apa lagi sepatutnya pe­mimpin politik perlu lakukan?

Bila berlaku sesuatu insiden, pemimpin kena turun ke bawah redakan keadaan. Jangan pula melakukan sebaliknya. Polis bertanggungjawab pada aspek keselamatan tetapi polis dalam menjalankan tugas memerlukan kerjasama orang ramai. Ada yang tidak kena, segera sampaikan maklumat. Ini penting.

Soal menguruskan isu membabitkan pemindahan rumah ibadat bukan baharu dan ia diakui rumit, apa nasihat Tan Sri?

Perkara ini perlu diuruskan dengan perbincangan kerana hal ini memerlukan pertemuan de­ngan pihak terlibat. Walaupun perintah mahkamah telah diperoleh, masih perlu berjumpa agar berjalan baik. Apatah lagi jika mahu mengambil tindakan, kena pastikan dilakukan bersama pihak penguat kuasa untuk me­ngawal keadaan keselamatan.

Ada pelbagai komen terhadap tindakan polis termasuk dalam kalangan menteri sendiri, bagi Tan Sri pula?

Ya, polis kena tegas, tindakan tidak kira pihak mana. Kena kawal keadaan tersebut sehingga selamat. Kehadiran polis perlu ada. Boleh letak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau apa sahaja unit di situ untuk tentukan keselamatan. Kalau tidak terkawal, Ketua Polis Negeri boleh isytihar perintah berkurung supaya ketenteraman tidak tergugat dan kemudian maklumkan kepada kerajaan negeri.

Apakah kejadian di Subang Jaya ini boleh dijadikan alasan untuk menghalang satu lagi perhimpunan yang dirancang pada 8 Disember?

Perhimpunan itu hak rakyat untuk berkumpul, dulu kata hak asasi tak boleh disekat kerana kita mengiktiraf hak asasi dan perlulah beri juga ruang itu kepada yang nak berhimpun 8 Disember ini. Namun pada masa sama perlu memastikan tidak menimbulkan keadaan yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam. Oleh itu perlu pemantauan dan kawalan pihak polis.