Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, kedua-dua lelaki yang memakai topeng meluru masuk ke dalam premis tersebut sambil mengugut seorang pekerja wanita yang berada di kaunter menggunakan parang.

Katanya, lelaki berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 20-an dan dipercayai orang tempatan itu kemudiannya mengambil rokok pelbagai jenama sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai berkenaan dan hanya ada seorang pekerja wanita yang berada di kaunter manakala seorang rakannya pula di dalam tandas.

“Kedua-dua suspek hanya mengambil rokok yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000 sebelum melarikan diri dipercayai dengan menunggang motosikal,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tiada sebarang kecederaan ke atas pekerja wanita terbabit dan pihaknya kini sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE