Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, suspek berusia 40-an yang sudah dikenal pasti itu melarikan diri ketika pasukan penyelamat dan bomba tiba di rumahnya selepas menerima laporan berlaku kebakaran kelmarin.

Menurut beliau, kerja-kerja memadam kebakaran kemudiannya menemukan dadah jenis syabu seberat 13.3 gram serta cecair disyaki minyak syabu seberat 28.17 kilogram.

Tambahnya, turut ditemukan di dalam pangsapuri yang disewa bersendirian suspek sejak hujung tahun lalu adalah pelbagai jenis peralatan memproses dadah serta bahan kimia lain.

KETUA Polis Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan (tengah) melihat sebahagian daripada dadah dan pe

KETUA Polis Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan (tengah) melihat sebahagian daripada dadah dan peralatan memproses barangan larangan tersebut semasa sidang akhbar di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Kebakaran itu dilaporkan oleh jiran suspek selepas mendapati kepulan asap dari rumah suspek yang dipercayai hasil daripada aktiviti memproses dadah yang sedang dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, polis kini giat memburu suspek dan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan suspek membuat laporan di mana-mana balai polis segera.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - UTUSAN ONLINE