Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, tindakan lelaki itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebut.

"Lelaki itu didapati berpakaian seluar jeans warna biru, baju tidak berkolar warna hitam dan membawa beg sandang warna coklat.

"Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Anuar Bakri berkata, kejadian curi wang tabung masjid itu disedari oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Batu 17 kira-kira pukul 2.15 petang pada 22 Ogos lalu.

Menurut beliau, AJK masjid itu mendapati mangga kunci salah sebuah tabung di masjid itu dipecahkan dan terdapat kesan umpil.

Kata beliau, pemeriksaan mereka mendapati duit kertas di dalam tabung itu telah tiada dan hanya ada duit syling dalam tabung tersebut.

Tambah beliau, rakaman CCTV masjid itu menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali bertindak memecahkan tabung masjid di tempat solat wanita.

"Semakan pada CCTV juga mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.14 pagi. Suspek membawa bag sandang dan pemutar skru panjang.

"Terdapat dua buah tabung di dalam masjid tersebut. Ini merupakan kejadian kedua tabung masjid itu dipecahkan," katanya. - UTUSAN ONLINE