Ketua Polis Daerah Timur Laut, Che Zaimani Che Awang berkata, terbaharu pihak polis telah menahan tiga ulat tiket di sekitar terminal berkenaan selepas menerima laporan mengenai kegiatan mereka yang didakwa menganggu operasi syarikat bas ekspres di situ.

“Pihak polis telah menerima aduan berkaitan perkara ini dan tindakan telah diambil dari semasa ke semasa.

“Dua hari lalu, tiga ulat tiket ditahan di situ dan tindakan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gangguan dan desakan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang wakil syarikat bas ekspres, Edward Lim mendedahkan perniagaan syarikat bas ekspres di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong terjejas kerana didakwa diganggu oleh ulat tiket.

Ulat tiket berkenaan dikatakan bergerak dalam bentuk kumpulan dan meminta komisen antara RM12 hingga RM18 bagi sekeping tiket sejak dua tahun lalu daripada pengusaha syarikat bas.

Bagi syarikat bas yang enggan membayar komisen berkenaan, ulat tiket berkenaan didakwa akan menghalang penumpang daripada membeli tiket daripada syarikat bas tersebut. - UTUSAN ONLINE