Yang Dipertuanya, Datuk Aliff Farid berkata, penyerahan watikah pelantikan untuk kerajaan negeri merupakan salah satu inisiatif PJK untuk membantu membanteras jenayah dalam negara.

Beliau berkata, pemilihan ahli lembaga Penasihat, Kehormat dan Bersekutu peringkat negeri Melaka itu telah ditapis sebelum dipilih untuk menjadi sebahagian ahli PJK sendiri.

"Kita memilih dari segi ketelusan dan pelbagai aspek diambil kira sebelum kita memberi watikah pelantikan kepada ahli yang menerima watikah.

"Mereka yang dipilih mampu membantu dan memberi sumbangan kepada negara dari aspek keselamatan seiring dengan objektif PJK sendiri untuk mencegah, membanteras serta membantu pihak berkuasa seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kegiatan jenayah dalam Malaysia," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan ahli lembaga Penasihat, Kehormat dan Bersekutu PJK di Seri Negeri di sini.

Enam penerima watikah pelantikan menerima watikah tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee selaku Ahli Lembaga Penasihat PJK.

Watikah pelantikan terdiri daripada Ahli Lembaga Penasihat, Ahli Lembaga Kehormat dan Ahli Lembaga Bersekutu.

Bagi Ahli Lembaga Penasihat, penerima ialah Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Melaka, Razali Ahmad manakala Ketua Pegawai Eksekutif Aviosupport Corporation (M) Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. T. Mohana Sundaram menerima watikah Ahli Lembaga Kehormat.

Dua penerima tidak hadir bagi menerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Penasihat iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Penerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Bersekutu ialah Timbalan Presiden Kebal F3000 Powerboat Malaysia, Ezzat Tahir dan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Muhammad Asrak Mohd. Osman.

Sementara itu, Razali antara penerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Penasihat berkata, penerimaan watikah tersebut akan digunakan untuk membantu dari aspek keselamatan khususnya dalam negeri Melaka.

Katanya, penglibatan secara langsung akan menimbulkan kepayahan namun jika ia melibatkan keselamatan negara perkara tersebut akan diusul ke peringkat lebih tinggi.

"Rela sendiri bertujuan untuk menjaga dan mengawal keselamatan setempat, dan jika diperlukan khidmat kami akan memberi maklumat serta bantuan yang diperlukan dalam aspek bersama-sama mencegah dan menjaga keselamatan," katanya. - UTUSAN ONLINE