Dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, pihak polis turut merampas sepasang gari dan vest berlambang polis.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Kedai Lalat pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun.

"Pemeriksaan pada badan suspek menemukan sepucuk pistol tiruan yang terselit pada pinggang dan sepasang gari di poket belakangnya. Suspek mendakwa pistol tiruan itu dibeli negara jiran dengan harga RM800.

"Kita turut merampas serangkai kunci kereta jenis Perodua Viva serta pemeriksaan lanjut menemukan 32 bebola bearing, sepasang gari dan vest berlambang polis dalam kereta tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada serbuan kedua dan menahan rakannya yang berusia 46 tahun di Kampung Padang Bemban di sini kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Pemeriksaan dalam rumah menemukan sepucuk pistol angin, suspek mendakwa pistol itu dibeli dari negara jiran untuk keselamatan diri. Dan kita telah menjumpai selaras senapang angin buatan sendiri dan sejumlah guli.

"Suspek mendakwa senapang itu digunakan untuk menembak tupai dan vest tersebut dibeli di bandar ini dengan harga RM85," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE