Selain itu, PGA turut merampas satu paket dadah dipercayai syabu serta selaras senapang buatan sendiri ‘bakakuk’ dan tiga peluru hidup dalam pemeriksaan berkenaan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek berumur antara 22 dan 41 tahun ditahan anggota yang melakukan risik serta rondaan di kawasan berkenaan pada 8.30 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan atas tiga motosikal yang dinaiki suspek, polis menemukan dadah dan senjata merbahaya.

“Pemeriksaan terhadap empat daripada mereka didapati warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan seorang suspek warga tempatan pula membawa kepada penemuan satu paket dadah jenis Syabu serta sebutir peluru hidup di dalam beg sandangnya,” katanya.

Hazani memberitahu, penemuan peluru hidup itu seterusnya membawa kepada penemuan selaras senapang bakakuk serta dua butir peluru hidup yang disembunyikan di dalam ladang kelapa sawit, tidak jauh dari kawasan suspek diperiksa.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati kelima-lima suspek adalah positif dadah,” ujar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, semua suspek dan barang rampasan termasuk tiga motosikal di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. - BERNAMA