Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Ismuni Umar berkata, mangsa berusia 60 tahun itu hanya menyedari insiden terbabit ketika hendak memberi makan kepada ternakannya kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, lelaki itu menyedari pagar rumah sarang burung walet miliknya telah dipotong dipercayai menggunakan gunting besi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dinding zink rumah sarang burung itu telah dikopek dari luar manakala mangga pintu turut diumpil.

“Beberapa barang dilaporkan hilang termasuk satu unit modem kamera litar tertutup (CCTV), satu unit modem WiFi, tiga unit cakera pemacu dan sarang burung seberat empat kilogram yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,000,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Dalam pada itu, Ismadi berkata, siasatan mendapati sekeping zink dinding telah dibuka untuk laluan masuk suspek sebelum memecahkan mangga pintu rumah dari bahagian dalam.

Tambahnya, pihaknya kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah dan curi.- UTUSAN ONLINE