Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, seorang lagi rakan suspek melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian itu, wanita terbabit berada di dalam kenderaannya sebelum didatangi suspek berusia 34 tahun bersama rakannya yang menaiki sebuah motosikal.

Ujarnya, suspek kemudiannya turun daripada motosikal dinaikinya sebelum membuka pintu kereta wanita berkenaan dan meragut beg serta telefon bimbit milik mangsa.

“Berikutan kejadian itu, seorang daripada suspek turut dikatakan menumbuk pipi wanita berkenaan dan menyebabkan mangsa melawan dengan menendang pintu ke arahnya.

“Seorang daripada suspek kemudiannya telah mengeluarkan parang dan terus mengacukan ke arah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsien memberitahu, sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang sedang meronda di kawasan tersebut ternampak insiden pergelutan dan terus memberi bantuan.

“Seorang suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri dengan motosikal setelah merempuh kereta peronda tersebut.

“Susulan daripada itu, kita kemudiannya merampas sebuah motosikal Yamaha yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bersama topi keledar,” jelasnya.

Tambah Mohamed Mokhsein, turut dirampas ialah serangkai anak kunci motosikal, beg (1), parang (1), gergaji besi (1) dan peket lutsinar dipercayai dadah methamphetamine.

“Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah telefon bimbit, beg tangan wanita (1) dan wang tunai bernilai RM670 hasil kegiatan samun.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE