Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, motosikal yang dinaiki mangsa, Fadly Latif, 37, dari arah Kluang ke Kota Tinggi terbabas ke lorong bertentangan setelah dilanggar sebuah motosikal dari belakang yang ditunggang seorang lelaki warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, disebabkan jarak yang dekat, pemandu lori berkenaan tidak dapat mengelak lalu melanggar mangsa terbabit.

"Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal lelaki warga Indonesia itu mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Kluang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Abduh berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan itu adalah jalan lurus dua hala dan tidak mempunyai lampu jalan.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kesemua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan akan dibawa ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) Kluang untuk pemeriksaan," katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE