Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Datuk Mohd. Zubil Mat Som menegaskan, penjualan bahan itu perlu ditangani segera sekiranya negara mahu menyekat kegiatan bom ikan yang dilihat mendatangkan kesan buruk kepada industri perikanan.

“Kita perlu melihat punca bom ikan berlaku iaitu mengekang penjualan bahan peledak selain memastikan tiada lagi penjualan hasil laut daripada aktiviti bom ikan di pasar.

“APMM percaya jika kedua perkara ini dapat ditangani, maka tidak akan berlaku lagi aktiviti bom di perairan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolobrasi Strategik Keselamatan dan Kesejahteraan Pelantar Minyak antara APMM dan Petronas.

Pada masa sama, Mohd. Zubil memaklumkan, pihaknya sepanjang tahun ini telah menahan 866 nelayan di seluruh negara kerana didapati menceroboh perairan Malaysia.

Menurut beliau, jumlah itu kebanyakkan terdiri daripada warga asing dengan melibatkan rakyat Vietnam (91 kes) diikuti Thailand (sembilan kes) dan Indonesa (empat kes).

“Selain itu, bukan sahaja warga asing malah aktiviti pencerobohan juga dilakukan sendiri rakyat tempatan iaitu di bawah pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“Terdapat di dalam kalangan mereka telah pun didakwa ke mahkamah dan ia menunjukkan APMM tidak bertolak ansur dalam menjalankan penguatkuaan khususnya bagi memerangi aktiviti pencerobohan maritim,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zubil memberitahu, APMM dan Petronas memeterai kerjasama berkenaan keselamatan dan kesejahteraan pelantar minyak serta komuniti maritim persekitaran radius pengoperasian minyak dan gas di perairan negara.

Katanya, persefahaman tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak merintis pendekatan yang lebih berkesan bagi menangani insiden pencerobohan keselamatan di laut.-UTUSAN ONLINE