Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, lelaki berusia 31 tahun itu yang lari daripada perintah pengawasan polis dari Rompin, Pahang sejak Jun tahun ini, ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Tengah dekat Kluang pada 2 petang.

Menurutnya, lelaki itu juga mempunyai 16 rekod jenayah lampau selain turut positif penggunaan dadah jenis Methaphetamine.

"Polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil ragut dan samun yang dilakukan suspek antaranya pelbagai jenis kad ATM bank, motosikal Honda RS150, dompet, lapan keping resit deposit tetap sebuah bank bernilai RM80,000, sekeping cek bernilai RM6,500 dan kad pengenalan.

"Semakan dilakukan mendapati barangan yang dirampas itu berkaitan kes yang berlaku di Taman Sri Kluang pada 7 Ogos lalu di mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu menjadi tular dalam media sosial baru-baru ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari dan pihaknya sedang giat menjalankan siasatan termasuk mengesan rakan jenayahnya selain mengenal pasti penglibatan lelaki itu dalam kes-kes samun dan ragut lain sama ada di Kluang atau di tempat lain.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana meragut dan Seksyen 392 kanun yang sama kerana menyamun. - UTUSAN ONLINE