Tertuduh, Azril Hakim Muhammad, 29, dari Kampung Limau Kasturi di sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Menurut pertuduhan, Azril Hakim didakwa menipu seorang lelaki, Salleh Ong Abdullah, 64, secara bersemuka dalam urusan penjualan kayu getah di tanah kebun Lot 400, 401 dan 402 di Limau Kasturi, Bertam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai makan di bawah jambatan Limau Kasturi pada 18 Oktober 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh membayar wang jaminan tersebut. - UTUSAN ONLINE