Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa Hasnah Awang, 64, dari Kampung Cacar Baru, Paka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit bersama suaminya dalam kereta Proton Satria dinaiki mereka.

Mereka yang cedera parah ialah suami mangsa, Mohd. Rozi Mukhtar, 52, di samping pemandu kereta Perodua Viva, Muhammad Iqmal Basysyar Haidi, 18, dan seorang penunggang motosikal, Tengku Zainudin Tengku Setapa, 55.

Manakala, penumpang Perodua Viva, Muhammad Aqil Shahmi Rosli, 18, hanya cedera ringan di bahagian dagu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Dungun ke Paka dan dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva di hadapan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang berada di belakang Perodua Viva itu gagal mengelak lalu merempuh Proton Satria yang berada di tengah-tengah laluan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Baharudin, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pasangan suami isteri itu yang tersepit dalam kereta mereka yang remuk.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala mereka yang cedera turut dihantar ke Unit Kecemasan hospital sama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE