Wang palsu yang bernilai RM100 itu didakwa diperolehi daripada seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dikatakan datang untuk membeli barangan di premis kedai mereka.

Dakwa peniaga terbabit, suspek wanita itu datang dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis bersama seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 50-an.

Mereka mendakwa, pasangan tersebut menyasarkan kedai di kawasan kampung dan mereka akan memasuki premis itu ketika pemiliknya sibuk melayan pelanggan lain.

Tambah mereka, wanita terbabit akan membeli beberapa barangan yang bernilai RM15 sebelum menyerahkan wang palsu terbabit dalam keadaan yang sudah dilipat dua.

Seorang peniaga keropok lekor di Kampung Meraga Beris, Nurhaslida Mohamad, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk melayan beberapa orang pelanggan yang datang ke kedainya untuk membeli keropok.

Katanya lagi, suspek wanita itu yang memakai baju kebaya dan bertudung berwarna coklat memasuki kedainya pada pukul 5 petang dan membeli keropok lekor yang bernilai RM15.

“Keadaan pada masa itu memang sibuk kerana ramai pelanggan datang sempena cuti Hari Raya dan saya tidak mengesyaki apa - apa kerana beranggapan wanita tersebut seperti pelanggan lain.

“Dia ( suspek ) kemudiannya menyerahkan wang tersebut dalam keadaan dilipat dua sebelum saya memulangkan baki kepadanya sebanyak RM85 dan memang saya tidak perasan itu adalah duit palsu,” ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya lagi, dia diberitahu oleh seorang lagi mangsa yang datang ke kedainya selepas cuba mengejar suspek berikutan menerima wang palsu terbabit pada tengahari.

“Saya panggil suami yang berada di belakang kedai dan meminta wang RM100 miliknya dan apabila dibandingkan memang wang yang saya terima itu wang palsu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE