Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Riduan Abd. Samad, 38, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penghuni pusat Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan didakwa telah menyebabkan kematian seorang penghuni di pusat yang sama iaitu Mazeline Sabtu, 53.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di belakang asrama lelaki di villa berkenaan di Jalan Tebing Tinggi, Duyong di sini kira-kira pukul 3.30 petang pada 1 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia mempunyai masalah kesihatan mental.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental dan menetapkan tarikh 10 Mei bagi sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE