Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya di Seksyen 20 di sini pada pukul 1.15 pagi ini menerusi Op Rapid Selangor selepas aksi jenayahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bas berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku pada pukul 9 pagi Ahad lalu apabila mangsa, 30-an ter­tinggal beg tangannya selepas turun dari kenderaan awam ber­kenaan bersama tiga anaknya.

Menurutnya, suspek yang memakai baju Melayu dan duduk di barisan belakang kemudiannya dilihat telah menyelongkar dan mencuri dompet mangsa.

Difahamkan suspek sering me­nggunakan perkhidmatan bas yang ditawarkan secara percuma kepada warga Selangor itu untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah di Seksyen 20 di sini.

“Mangsa yang menyedari beg tangan tertinggal kemudiannya telah menanyakan kepada syarikat bas, namun didapati dompetnya sudah tiada.

“Hasil maklumat rakaman CCTV itu, polis kemudiannya menahan suspek di rumahnya dan merampas seutas gelang tangan, jam tangan G-Shock dan sebuah telefon bimbit jenama Asus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Baharudin, siasatan mendapati suspek mengaku melakukan jenayah tersebut dan ujian air kencing mendapati negatif dadah.

“Bagaimanapun, semakan re­kod pula mendapati, suspek mempunyai dua jenayah lampau berkaitan dadah dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad menjelaskan, bas berkenaan beroperasi untuk laluan bermula di kawasan komuter bas Seksyen 19 melalui Seksyen 17, 18, 20 dan 24.

“Orang ramai dinasihatkan lebih peka dengan memastikan barangan peribadi dijaga dengan baik bagi mengelak berlaku kehilangan atau kecurian seumpama itu,” katanya.