Kejadian pada pukul 9.45 pagi yang menunjukkan mangsa disamun dua lelaki bermotosikal itu turut tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Kamariah Maarif, 40, dari Kampung Labohan, Kerteh dekat sini merupakan anggota wanita Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan mengawal bangunan Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kerteh bersama seorang lagi rakannya.

“Kejadian berlaku ketika rakan mangsa ke pasar tani untuk beli makanan dan semasa mangsa keseorangan, muncul dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha Sport telah bertindak memukul mangsa sebelum melarikan wang milik wanita itu," katanya di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat, jelas beliau, polis berjaya menahan suspek berusia 30 tahun kira-kira pukul 10 pagi tadi di tepi Jalan Air Jerneh/Kemasek dekat sini.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan di lokap Balai Polis Chukai dan akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE