Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya berjaya menangkap suspek berusia 26 tahun itu yang didakwa menipu Pegawai Daerah Sepang semata-mata bagi mendapatkan geran tanah.

Tambah beliau, pengadu merupakan pegawai daerah sebelum itu telah menerima satu panggilan telefon pada pukul 8.05 malam, 6 Jun lalu oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar.

“Pemanggil membangkitkan satu kes pemilikan tanah kerajaan negeri dan dia mendakwa telah diminta menyelesaikan isu tersebut serta mengesa geran dikeluarkan segera agar projek pembangunan dapat dilaksanakan segera.

“Pegawai itu mengesyaki panggilan tersebut bukan suara Menteri Besar dan beliau membuat semakan dan mendapati pemimpin terbabit ketika itu berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz lagi, pegawai daerah terlibat mengesyaki pemanggil menyamar kerana menggunakan identiti dan nombor telefon Menteri Besar kemudiannya membuat polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

“Susulan itu pada 9 Julai lalu, pihak polis telah berjaya menahan suspek dan juga merampas sebuah telefon bimbit jenama Iphone dan sekeping kad sim.

“Suspek yang bernama Muhammad Mohd Khushairi telah dituduh di Mahkamah Majistret Sepang hari ini mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar,” katanya.

Tertuduh yang mengaku bersalah telah didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya. - UTUSAN ONLINE