Lim Wee Kiat, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas harta milik Nurfatin Azlina Hamzah, 30, dan ketika melakukan jenayah tersebut, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan mangsa cedera.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2.30 petang di tempat letak kenderaan B2 Lane 3, AEON Bandar Raya Melaka, pada 10 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban sebelum itu memohon tertuduh dirujuk ke hospital psikiatrik ekoran tertuduh didapati mempunyai rekod rawatan mental dan tarikh sebutan bagi serahan laporan kesihatan tersebut.

Norma kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah selain menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE