Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perkara itu sentiasa dibincangkan dan akan terus dibawa di peringkat mesyuarat Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ya, sememangnya ada keperluan untuk kita menempatkan aset-aset milik TLDM di perairan Laut China Selatan bagi mengawal pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas sempena Eksesais Kerismas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari siri 19/2019 di Markas Wilayah Laut 1 Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalannya, Liew Chin Tong dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Reza Mohd. Sany.

Mohamad berkata, isu pencerobohan nelayan asing menjadi tajuk utama yang sentiasa dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).

“Kita juga akan ke Vietnam tidak lama lagi. Kita akan utarakan soal maritim, kehilangan khazanah di Laut China Selatan dan zon ekonomi,” katanya. - UTUSAN ONLINE