Perkara itu didedahkan Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah mengenai kewujudan dalang atau tonto dipercayai terdiri daripada bekas tekong bot pukat tunda yang membocorkan maklumat pada setiap kali pihak penguatkuasaan melakukan operasi.

Bagaimanapun kata Nurulazme, pihaknya akan sentiasa mempergiatkan rondaan serta mengatur strategi berkesan bagi mengekang aktiviti pencerobohan itu meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran berkenaan.

“Kita selalu melakukan operasi yang bukan sahaja berdasarkan aduan daripada nelayan tetapi apabila kita keluar, aktiviti pencerobohan itu sudah tidak ada, seolah-olah mereka mengetahui kehadiran pihak berkuasa.

“Kita percaya tonto ini yang terdiri daripada penduduk tempatan membocorkan maklumat.

Saya percaya mereka ini dibayar dengan nilai bergantung kepada aktiviti dilakukan termasuk boleh mencecah RM600.

“Selain itu, kita juga menyedari rumah-rumah terapung di Kuala Perlis ini juga menyalakan pelbagai lampu ketika kita melakukan operasi seolah-seolah memberi isyarat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan itu, setiap kali kita pergi (operasi) keadaan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan rintihan nelayan Kuala Sungai Baru di sini yang kadang-kala pergi ke laut pulang dengan tangan kosong selain pendapatan bulanan pula hanya cukup-cukup makan antara RM500 sehingga RM600.

Ia membabitkan kira-kira 200 orang nelayan di Sungai Baru apabila kawasan penangkapan ikan di Zon A iaitu kira-kira 3.6 kilometer dari pantai berkenaan diceroboh oleh nelayan bot siput retak seribu.

Tambah Nurulazme, pihaknya akan menempatkan bot dan melakukan rondaan di sekitar Kuala Sungai Baru bagi mengawal aktiviti pencerobohan nelayan bot siput retak seribu ini.

Dalam masa sama, pihaknya juga akan bekerjasama dengan nelayan setempat agar menyalurkan maklumat kepada mereka.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak enam tangkapan daripada 1,689 pemeriksaan dilakukan sepanjang tahun ini.- UTUSAN ONLINE