Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pemilik rumah berkenaan yang berusia 43 tahun sedang membersihkan rimbunan pokok di hadapan rumahnya sebelum menemukan dua objek itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 9.40 pagi dan sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bergegas ke taman perumahan berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pasukan itu mendapati kedua-dua objek tersebut merupakan bom tangan asap yang masih aktif dan fizikalnya masih lengkap mempunyai pin keselamatan.

"Pemeriksaan lanjut pada objek tersebut tidak menemukan sebarang nombor siri atau rekod.

"Bom tangan asap itu yang biasanya digunakan dalam latihan polis dan dipercayai berada di lokasi itu lebih dari dua minggu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Afzanizar berkata, kedua-dua bom tangan itu dibawa ke IPK untuk dimusnahkan oleh pasukan UPB dan pihaknya masih menyiasat bagaimana ia boleh ditemukan di kawasan awam. - UTUSAN ONLINE