Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek merupakan antara lima lelaki disyakki penagih dadah yang ditahan melibatkan empat buah kampung sekitar daerah ini.

“Operasi itu bermula kira-kira pukul 2 pagi hingga 1 petang tadi yang disertai enam anggota penguatkuasa AADK Besut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai suspek yang bertindak agresif itu, Noor Hafizza berkata, kejadian berlaku sejurus sepasukan anggota pengkuatkuasa pergi ke rumah suspek kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Katanya, setelah memperkenalkan diri pegawai telah memaklumkan kepada suspek untuk membawanya menjalani ujian air kencing.

Bagaimanapun jelas beliau, suspek terbabit dikatakan enggan memberi kerjasama lalu berlaku pergelutan sebelum berjaya digari.

“Suspek kemudiannya diminta kemuka kad pengenalan tapi dia beri alasan kad pengenalannya ada di dalam biliknya dan ingin masuk ke bilik untuk mengambilnya,” ujarnya.

Katanya, bagaimanapun suspek meluru ke sebuah meja untuk mengambil lawi ayam dan hampir mencapainya sebelum sekali lagi berlaku pergelutan.

“Suspek yang masih bujang mengaku baharu setahun terlibat dengan penagihan pil kuda kerana pengaruh rakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998. - UTUSAN ONLINE