Mangsa yang berusia lewat 20-an dikatakan telah membayar wang tersebut untuk membeli sebuah kereta Honda jenis FD yang berharga RM14,000 melalui laman sosial Facebook namun selepas pembayaran tersebut dibuat peniaga terbabit telah menghilangkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada 21 Julai lalu, mangsa telah membuat bayaran pendahuluan pertama sebanyak RM7,500 kepada suspek.

“Bagaimanapun pada keesokannya suspek menyuruh mangsa membayar sebanyak RM2,600 bagi insuran kenderaan dan mangsa berbuat demikian.

“Selepas berurusan mangsa ke Johor untuk mengambil kenderaan itu seperti mana yang dijanjikan suspek. Ketika dalam perjalanan dengan menaiki kereta api mangsa tiba-tiba menerima pesanan menerusi laman aplikasi WhatsApp yang mengatakan kereta itu masih belum ada lagi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.

Beliau berkata, selepas kejadian itu mangsa menghubungi suspek beberapa kali tetapi gagal.

Katanya, mangsa yang curiga kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah Selasa lalu.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah di laman sosial khususnya jualan menerusi talian dan boleh menyebabkan kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Sementara itu Ahmad Azizul berkata, berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini sebanyak 22 kes dengan jumlah kerugian anggaran RM100,000 membabitkan penpiuan jual beli dalam talian.

Katanya, mangsa mengalami kerugian selepas terpedaya dengan harga murah termasuk untuk membeli telefon bimbit, motosikal, kereta dan drone. - UTUSAN ONLINE