Lelaki berusia 20 tahun itu dikatakan bersembunyi di kampung berkenaan sebelum berjaya dicekup sepasukan anggota polis di tepi jalan di kampung itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohamad Zohan Seman berkata, suspek yang dikenali sebagai ‘Fahmi Absober’ ditahan pukul 6.15 petang semalam.

Beliau menjelaskan, sebelum itu suspek dihantar ke daerah Jeli, Kelantan Ahad lalu bagi menjalani hukuman buang daerah selama dua tahun atas kesalahan curi motosikal.

“Selepas selesai proses penghantaran suspek dan urusan dokumentasi di Balai Polis Batu Melintang, suspek kemudiannya melarikan diri pada pukul 7 malam hari yang sama dengan menaiki motosikal yang dicurinya.

“Suspek telah mencuri sebuah motosikal di sebuah masjid di Kampung Batu Melintang ketika semua jemaah sedang menunaikan solat Magrib,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya menunggang motosikal itu untuk pulang ke Dungun dan tiba pada awal pagi di daerah tersebut sebelum bertindak menyembunyikan diri di daerah tersebut.

“Suspek dikatakan tidak pulang ke rumahnya sebaliknya menyembunyikan diri di kawasan tersebut bagi mengelak dikesan pihak polis yang giat menjejakinya,” kata beliau.

Ujarnya, lelaki itu akhirnya dapat dikesan hasil maklumat penduduk kampung yang sebelum itu ternampak kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan lalu menghubungi polis. - UTUSAN ONLINE