Tertuduh, Zamri Yahaya, 52, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut kesemua pertuduhan, Zamri yang merupakan ejen kerajaan Malaysia iaitu pembantu perawatan kesihatan didakwa mempergunakan dengan niat memperdaya wakil prinsipal iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya dengan dokumen tuntutan elaun lebih masa.

Jumlah tuntutan bagi kesemua pertuduhan itu adalah sebanyak RM3,134.67 dan dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Februari hingga Julai 2017 bagi tuntutan yang dibuat untuk bulan Januari hingga Jun 2017.

Zamri didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Azlan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesalahan itu dianggap serius.

Tertuduh bagaimanapun meminta mahkamah meringankan jaminan memandangkan dia menyara tiga anak berusia antara 16 hingga 27 tahun yang tidak bekerja, seorang isteri, ibu berusia 81 tahun dan kakak golongan orang kurang upaya (OKU) berusia 54 tahun dengan pendapatan bersih RM1,800 sebulan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan berjumlah RM6,000 beserta seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 12 Jun ini. - UTUSAN ONLINE