Tertuduh, G. Ravi, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bertam Indah arah Paya Keladi, Kepala Batas, pukul 10 pagi Ahad lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM8,000 serta tidak lebih RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd. Azmil Johari manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh namun peguam meminta jumlahnya dikurangkan atas alasan tertuduh hanya bekerja ladang dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyara seorang isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun.

Kalaiarasi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi Ahad lalu, peniaga, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia selepas gerai menjual nasi lemaknya dirempuh sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dipercayai dipandu lelaki dalam keadaan mabuk.

Mangsa yang turut tercampak kira-kira 10 meter ke tengah jalan akibat rempuhan itu meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kepala Batas (HKB).

Dalam kejadian sama, suami mangsa, Mat Subri Saad, 44, yang turut berniaga di gerai berkenaan cedera pada bahagia kepala dan tangan dan kini dirawat di HKB.

Sementara itu, beberapa ahli keluarga mangsa yang hadir termasuk anak mangsa, Muhamad Razin Naufan, 20, dilihat menangis sebaik sahaja prosiding mahkamah berakhir.

Ketika ditemui, Muhamad Razin berkata, dia hanya mahu melihat keadilan ke atas apa yang berlaku terhadap ibu dan bapanya dalam kejadian itu. - UTUSAN ONLINE